63 PATI warga Indonesia dipulangkan ke Nunukan

IMG 4114

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: Seramai 63 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia pada 6 November 2026.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah memaklumkan, pemindahan menerusi laluan laut itu melibatkan 59 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dari Depot Imigresen Sandakan menggunakan feri komersial.

Sehari sebelum itu, seramai empat tahanan lelaki dewasa warga Pakistan dari Depot Imigresen Papar dipindahkan melalui laluan udara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Lahore, Pakistan.

Menurut JIM Sabah, empat program pemindahan dilaksanakan sepanjang minggu ini, melibatkan 976 tahanan warga asing yang dihantar pulang ke negara asal.

Sehingga 6 November 2026, jumlah keseluruhan tahanan PATI yang dipindahkan ke negara asal mencecah 8,472 orang.

Dari jumlah itu, seramai 6,165 merupakan warga Filipina, Indonesia (1,959), Pakistan (143), China (142), Vietnam (29) dan 34 orang lagi dari negara lain.

JIM Sabah memaklumkan semua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah yang membolehkan proses pemindahan dilaksanakan.

Pihak majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan, direkodkan dengan teratur.

JIM Sabah turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen sah, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: JIM Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal