UMS rangkul gelaran juara keseluruhan SUIPTS 2026

photo 2026 06 23 15 01 17

KOTA KINABALU: 23 Jun 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Sabah (SUIPTS) 2026 selepas berjaya mengutip pingat dengan 29 emas, 13 perak dan lima gangsa.

Majlis penutupan kejohanan itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS, pada Ahad.

photo 2026 06 23 15 01 24

Beliau berkata, SUIPTS bukan sekadar platform persaingan sukan, sebaliknya menjadi medium penting dalam memupuk disiplin, integriti, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan mahasiswa.

Menurutnya, penyertaan aktif dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh semua 23 institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan dan modal insan.

photo 2026 06 23 15 01 31

Beliau turut berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang SUIPTS 2026 dapat dijadikan pemangkin kepada para pelajar untuk terus mencipta kecemerlangan di peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan.

Dalam saingan tersebut, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCS) menamatkan kejohanan sebagai naib juara dengan kutipan lima emas, enam perak dan 10 gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang meraih empat emas, dua perak dan lima gangsa.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal