Tindakan pantas orang awam selamatkan 21 pelancong

a833c5d1 782a 40bb 9162 d5db73799844

KIMANIS: Bantuan pantas orang awam di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan empat mangsa yang tersepit, sekali gus memastikan kesemua 21 penumpang bas pelancong terselamat dalam kemalangan di Jalan Bukit Kimanis–Keningau, petang kelmarin.

Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu. Empat mangsa parah manakala 17 lagi cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tidak lama kemudian.

“Sepasukan lapan anggota bersama jentera dari BBP Kimanis dan BBP Papar dikejarkan ke lokasi sejauh kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba pada jam 1.58 petang, didapati bas pelancong itu membawa 21 mangsa dan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit.

“Orang awam berjaya mengeluarkan kesemua empat mangsa tersepit sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa parah membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 36 hingga 61 tahun yang mengalami patah anggota badan dan kecederaan di kepala.

Pasukan bomba bersama enam petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal di lokasi, manakala empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu mengawal keadaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal