JAKARTA, INDONESIA:6 Julai 2026– Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Kota Kinabalu melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia pada penyertaan sulungnya di Nusantara Dance Festival (NDF) 2026 di Jakarta dengan membawa pulang satu Anugerah Platinum dan dua Anugerah Gold.
Kejayaan membanggakan itu menyaksikan Chayson Trien Terence muncul penerima Anugerah Platinum bagi kategori Solo Pre Junior (11 Tahun), manakala Jacob Chaim Yusevender meraih Anugerah Gold bagi kategori Solo Pre Junior (9 Tahun). Sementara itu, pasangan Ashrene Andrea Andy Rick dan Iris Zara binti Josue C.V.L. turut menghadiahkan Anugerah Gold kepada kontinjen SK Malawa menerusi kategori Duo Pre Junior (10 Tahun).
Guru Besar SK Malawa, Mazlan Osman, berkata kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat bermakna memandangkan penyertaan sekolah di pentas seni tari antarabangsa itu adalah yang pertama dalam sejarah penubuhan kumpulan tarian sekolah.

Menurut beliau, pada peringkat awal pihak sekolah hanya menyasarkan pencapaian di peringkat Bronze atau sekadar penyertaan sebagai pendedahan kepada murid untuk merasai pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa. Namun, kejayaan membawa pulang satu Anugerah Platinum dan dua Anugerah Gold nyata melangkaui sasaran yang ditetapkan.
“Ini membuktikan murid SK Malawa mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa apabila diberikan peluang, latihan yang sistematik serta bimbingan yang berkualiti. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para peserta, dedikasi guru pembimbing, komitmen jurulatih dan sokongan padu ibu bapa serta seluruh warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan dicapai dalam tempoh yang singkat, sebaliknya merupakan hasil latihan yang konsisten selama beberapa bulan.
Bagi Chayson Trien Terence serta pasangan Ashrene Andrea Andy Rick dan Iris Zara binti Josue C.V.L., latihan bermula sejak Januari hingga Jun 2026 yang merangkumi latihan asas, pembentukan teknik, pengukuhan persembahan (shaping) serta latihan intensif di bawah bimbingan jurulatih Arthur.
Sementara itu, penari termuda kontinjen, Jacob Chaim Yusevender, yang baru berpindah ke SK Malawa pada Jun 2026, menjalani latihan intensif bersama jurulatih Jean dalam tempoh yang jauh lebih singkat. Walaupun hanya mempunyai masa persediaan yang terhad, beliau berjaya mempamerkan persembahan cemerlang sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Gold.

Mazlan berkata, antara keistimewaan persembahan SK Malawa ialah kejayaan yang dicapai oleh murid daripada tiga kelompok umur berbeza iaitu 9, 10 dan 11 tahun, sekali gus membuktikan bakat seni tari mampu dipupuk sejak usia muda menerusi latihan yang tersusun dan berterusan.
Menurut beliau, pencapaian itu memberi keyakinan kepada sekolah untuk terus memperkukuh pembangunan bakat seni tari sebagai salah satu platform melahirkan murid yang kreatif, berdisiplin serta berdaya saing di peringkat lebih tinggi.
Selain menyertai pertandingan, delegasi SK Malawa turut mengadakan kolaborasi seni dan budaya bersama Sanggar Mawar Budaya, Jakarta, sebagai usaha memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia. Program tersebut turut membuka ruang pertukaran ilmu, pengalaman dan persembahan seni, di samping mempromosikan warisan budaya kedua-dua negara kepada masyarakat serantau.
Selaras dengan visi untuk menjadi kumpulan tarian sekolah rendah yang cemerlang, kreatif dan berdaya saing, SK Malawa merancang untuk memperkukuhkan lagi program pembangunan seni tarinya melalui latihan mingguan yang lebih konsisten, pendedahan kepada pelbagai genre tarian termasuk tradisional, kontemporari, kreatif dan etnik Sabah, serta penyertaan berterusan dalam pertandingan di peringkat zon, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Sekolah itu juga berhasrat melahirkan lebih ramai pelapis berkualiti menerusi program pencarian bakat dan mentor-mentee, di samping membina identiti tersendiri melalui koreografi dan kostum yang berteraskan budaya tempatan. Kerjasama strategik bersama jurulatih profesional, institusi pendidikan serta komuniti seni turut akan diperkasakan bagi memastikan kumpulan tarian SK Malawa terus berkembang sebagai antara ikon kecemerlangan sekolah.
Kejayaan di Nusantara Dance Festival 2026 bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat SK Malawa, malah membuktikan bahawa bakat seni dalam kalangan murid sekolah rendah mampu diketengahkan ke pentas antarabangsa apabila disokong dengan latihan berkualiti, komitmen yang tinggi dan kerjasama erat semua pihak.

