PENAMPANG: 11 Ogos 2026 – Polis menahan tiga lelaki berusia antara 17 hingga 21 tahun yang disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah Penampang dalam operasi pada 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton berkata, operasi itu turut membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil curian.
“Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 21 tahun telah ditahan oleh sepasukan polis dalam satu operasi di kawasan daerah Penampang pada 10 Ogos 2026,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan motor. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara satu tahun hingga tujuh tahun dan didenda.
Polis akan terus mempergiat usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang.
Masyarakat turut dinasihatkan sentiasa peka terhadap persekitaran dan bertindak segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau sebarang aktiviti mencurigakan.
Sumber: IPD Penampang

