KOTA KINABALU: Pengguna elektrik berskala besar di Sabah mula menerima notis arahan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sejak 4 November lalu, menandakan penguatkuasaan penuh Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2024 (EMEER 2024).
Langkah itu menyasarkan premis atau industri yang menggunakan elektrik mencecah 3,000,000 kilowatt-jam (kWh) atau lebih dalam tempoh enam bulan berturut-turut, bertujuan menghentikan pembaziran tenaga.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Kawal Selia Ekonomi) ECoS, Ir. Magdalene Chu Wai Quan, menegaskan peraturan tersebut bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, malah membantu syarikat menjimatkan kos operasi dalam jangka panjang.
“EMEER 2024 bukan bertujuan menjadi pematuhan semata-mata, sebaliknya menggalakkan pengguna elektrik berskala besar mengamalkan pengurusan tenaga secara sistematik, mengenal pasti ruang penambahbaikan, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan prestasi perniagaan secara keseluruhan,” katanya ketika merasmikan Seminar Pematuhan Peraturan Kecekapan Tenaga dan Program Sokongan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Penerima notis diwajibkan melantik Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar dan menghantar pengesahan bertulis ke ECoS dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis dikeluarkan.
Selepas tempoh tiga bulan pelantikan itu, mereka juga diwajibkan mengemukakan laporan dan dokumentasi penggunaan tenaga selepas tamat tempoh enam bulan berikutnya.
Menurut Magdalene, pelaksanaan peraturan itu menjadi teras utama di bawah Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP), iaitu pelan hala tuju 10 tahun untuk mengimbangi lonjakan permintaan elektrik akibat pembangunan pesat di Sabah.
ECoS menegaskan kejayaan langkah itu menuntut komitmen penuh pemain industri melihat kecekapan tenaga sebagai pelaburan strategik demi menjamin kestabilan bekalan elektrik Sabah.
Seminar itu turut menghimpunkan pakar dari Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Malaysian Debt Ventures Berhad (MDV), Energy IR Sdn Bhd, IEN Consultants Sdn Bhd, Atech Energy Sdn Bhd dan Jurutera Perunding M&E NTM untuk mendedahkan mekanisme pembiayaan dan penyelesaian teknikal ke peserta.
Sumber: ECoS
