KUCHING: 7 November 2026 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan teknologi pengecaman aksara optik melalui sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) di semua saluran pengundian bagi 82 bahagian pilihan raya negeri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Sistem itu menjadi sebahagian usaha pendigitalan proses pilihan raya yang diperluas SPR, khususnya dalam urusan semakan kehadiran pengundi.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun berkata penggunaan OCR-VA tidak mengubah tatacara pengundian sedia ada.
“Pengundi hanya perlu hadir ke pusat pengundian seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan dan seterusnya meneruskan proses pengundian,” katanya kelmarin.
Menurut beliau, pelaksanaan projek rintis OCR-VA ialah sebahagian daripada transformasi digital SPR dalam proses pilihan raya.
PRU DUN Sarawak Ke-13 dijadual berlangsung pada 12 Disember ini. Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi di 82 kerusi.
Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember. Tempoh berkempen berlangsung 14 hari sehingga 11 Disember.
Pilihan raya itu turut melibatkan 40,505 petugas di 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 saluran. Peruntukan sebanyak RM174.94 juta disediakan.
SPR turut menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau aktiviti kempen.
