Tanpa pengurus, dengan busana diurus sendiri, Dyeneley dinobat Juara RTK Sabah 2026

Screenshot 20260528 192024 Gallery

PENAMPANG: 28 Mei 2026 – Pada usia semuda 19 tahun, Dyeneley Bin Daud mencipta sejarah tersendiri ketika muncul juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Sabah 2026, sekali gus menjadi wakil pertama dari daerah pedalaman Nabawan yang merangkul gelaran berprestij itu.

Kemenangan anak muda berketurunan Murut itu bukan sahaja membanggakan daerah Nabawan, malah dilihat sebagai simbol kebangkitan generasi muda dalam memartabatkan seni budaya tradisional Sabah ke peringkat lebih tinggi.

Berasal dari Kampung Kabangawong, Nabawan, Dyeneley berkata kejayaan tersebut amat bermakna buat dirinya memandangkan penyertaan tahun ini merupakan kali pertama beliau bertanding di pentas RTK negeri.

“Saya sangat bersyukur kerana perjalanan pertama saya dalam RTK berakhir dengan kemenangan yang cukup besar maknanya, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, daerah Nabawan dan masyarakat Murut,” katanya.

Dyeneley yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik. Beliau dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan bapanya bekerja sebagai petani manakala ibunya seorang suri rumah.

Menurutnya, minat mendalam terhadap tarian tradisional menjadi faktor utama beliau menyertai RTK, selain mahu membuktikan bahawa anak muda mampu mengangkat martabat seni budaya warisan masyarakat tempatan.

“Saya percaya RTK merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan bakat, budaya dan identiti masyarakat kami kepada khalayak yang lebih luas.

“Saya juga mahu membuktikan bahawa generasi muda masih mempunyai semangat untuk memelihara dan memartabatkan budaya tradisional,” katanya.

Mengulas perjalanan menuju ke pentas akhir, Dyeneley mengakui beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk keletihan, pengurusan masa dan tekanan sepanjang persiapan pertandingan.

“Memang ada masa saya berasa penat dan hampir berputus asa, tetapi saya sentiasa kuatkan semangat kerana percaya setiap pengorbanan pasti ada hasilnya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sokongan keluarga, rakan-rakan dan jawatankuasa RTK Nabawan sebagai kekuatan utama yang membantunya terus bertahan sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara.

Katanya, antara detik paling menyentuh hati sepanjang pertandingan ialah ketika beliau terpaksa menguruskan sendiri pelbagai persiapan termasuk penyediaan busana dan keperluan persembahan.

“Saya sedar perjuangan ini bukan hanya tentang diri sendiri, tetapi tentang semua insan yang percaya dan sentiasa menyokong saya dari belakang,” katanya.

Pada pertandingan akhir RTK Sabah 2026 yang berlangsung pada 27 Mei lalu, Dyeneley tampil mengenakan pakaian tradisional Sampayau Puputul Ri Aki Babalayong dari suku kaum Murut Paluan sebagai lambang identiti budaya daerah Nabawan.

Beliau berkata pemilihan busana tersebut bertujuan memperkenalkan keunikan budaya Murut Paluan selain menzahirkan rasa bangga terhadap warisan tradisi masyarakatnya.

Walaupun mengakui persaingan di peringkat negeri amat sengit dengan kehadiran peserta berbakat dari seluruh Sabah, Dyeneley berkata beliau memilih untuk kekal positif dan fokus terhadap disiplin latihan.

“Saya datang dengan niat untuk belajar, mencari pengalaman dan mengangkat seni budaya. Kemenangan ini adalah satu penghargaan yang amat saya syukuri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal