KOTA KINABALU: 22 Julai 2026 – Kerajaan negeri menyediakan geran permulaan perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan mentor dan pemantauan berterusan kepada usahawan belia untuk membantu mereka menjana pendapatan yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program ini merupakan salah satu strategi kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan, terutamanya dalam kalangan belia dan golongan B40.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Rabu.
Menurut Nizam, kementeriannya turut meningkatkan kebolehpasaran belia melalui latihan kemahiran jangka pendek (Home Based) dan latihan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian.
“Memperkasa keusahawanan belia menyediakan bantuan geran permulaan perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan mentor dan pemantauan kepada usahawan belia untuk membolehkan mereka menjana pendapatan secara mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat,” katanya.
Katanya, Kerajaan juga memperluaskan akses pasaran kepada usahawan belia melalui usaha ini dilakukan melalui penganjuran karnival, ekspo dan program promosi dalam pelbagai platform platform pemasaran untuk membantu mereka memasarkan produk dan perkhidmatan.
Nizam berkata kementeriannya memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta termasuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan PERKESO untuk memperluaskan peluang latihan dan pekerjaan.
“Saya percaya kementerian-kementerian lain, agensi-agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah mempunyai strategi masing-masing untuk melaksanakan program-program kemahiran yang turut melibatkan golongan belia B40 supaya mereka mendapat pekerjaan,” ujar beliau.
Jelasnya, kerajaan dan sektor swasta membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk industri minyak sawit dan pemprosesan makanan, pelancongan dan perkhidmatan, pembinaan dan infrastruktur, perkapalan, logistik dan pelabuhan, akuakultur dan perikanan, serta industri digital dan ekonomi kreatif.

