Sukarelawan dedah cabaran hantar sumbangan ke Kampung Bahagia

Gambar NGO Edar Bantuan

SANDAKAN: 21 April 2026 – Misi menghantar bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia berdepan cabaran tidak dijangka apabila lori yang membawa sumbangan diserbu dalam insiden awal pengagihan, menurut seorang sukarelawan tempatan.

Jeffry Ayung, 36, dari Kampung Sungai Batang, Batu 10, yang mewakili Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Sungai Manila Batu 12, berkata beliau menyediakan perkhidmatan pengangkutan lori secara percuma bagi membawa pelbagai bantuan termasuk makanan, minuman dan pakaian hasil sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Kampung Bahagia.

Katanya, usaha pengumpulan bantuan dilakukan secara pantas dengan penglibatan pelbagai pihak, antaranya KRT PPR Sungai Manila dan Ahli Jawatankuasa Masjid setempat pada sebelah pagi, diikuti Kelab Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sandakan pada waktu malam, selain sumbangan dari penduduk sekitar Batu 7, Taman Mesra dan Kampung Sim Sim pada hari berikutnya.

“Dalam tempoh kurang 24 jam, bantuan berjaya dikumpulkan hasil kerjasama pelbagai pihak. Kami terus menggerakkan lori untuk menghantar sumbangan ke lokasi,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama rakan mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan percuma bagi mempercepat penghantaran bantuan, bagaimanapun, pergerakan lori ke kawasan terjejas agak sukar berikutan laluan yang sempit.

Selain itu, dalam perjalanan pertama ke Kampung Bahagia, keadaan menjadi tidak terkawal apabila lori mereka diserbu oleh sekumpulan mangsa kebakaran.

“Situasi ketika itu agak kurang selamat kerana lori kami dipanjat dan barangan dihumban ke bawah. Namun kami tetap berusaha menyampaikan amanah penderma sebaik mungkin,” katanya.

Gambar Tidak Sempat Sampai Ke Drop Point
Situasi tegang apabila terdapat individu yang naik ke lori dan melempar barang sumbangan kepada orang ramai.

Tambah beliau, terdapat juga laporan mendakwa sebahagian pakaian yang dihantar telah dijual oleh individu tidak dikenali di bandar Sandakan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan bantuan.

Susulan insiden itu, Jeffry berkata pihaknya mengambil langkah lebih tersusun dengan mendapatkan bantuan pengiring bagi memastikan agihan berjalan lancar.

“Kami meminta bantuan NGO untuk mengiringi penghantaran sehingga ke lokasi penurunan (drop point). Alhamdulillah, Kelab Kastam Diraja Malaysia membantu mengiringi lori kami hingga ke hadapan masjid sebagai pusat agihan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeffry berkata kekecohan yang berlaku pada peringkat awal kemungkinan berpunca dari ketiadaan penyelarasan kerana bantuan tiba terlalu awal, namun keadaan kini dilaporkan lebih terkawal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana NGO atau individu yang ingin menyalurkan bantuan supaya berhubung dengan jawatankuasa yang terlibat bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Selain itu, beliau turut menawarkan khidmat pengangkutan percuma melalui perniagaannya, JJ Transport, bagi membantu penghantaran bantuan, di samping menjalankan perkhidmatan sebagai pembekal dan kontraktor menerusi JJ Supplier & Construction.

“Yang penting, bantuan sampai kepada mangsa dengan cara yang teratur dan selamat,” katanya.

Kebakaran di Kampung Bahagia menyebabkan lebih 8,000 orang dengan pelbagai kewarganegaraan kehilangan tempat tinggal dalam insiden kebakaran pada pagi 19 April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal