KOTA KINABALU: 22 April 2026 – Pertandingan Sugandoi Daerah Papar 2026 bakal tampil dengan pembaharuan ketara menerusi tema “Malar Segar”, yang menekankan usaha menghidupkan semula lagu-lagu klasik era 70-an hingga 90-an zaman kaset sebagai sebahagian daripada pemerkasaan warisan seni tempatan.
Pengerusi penganjur, Minami Sugali Anduini, menjelaskan pendekatan kali ini dirangka bukan sekadar untuk menonjolkan bakat nyanyian finalis sugandoi kategori terbuka, tetapi turut berperanan sebagai medium memartabatkan semula karya lama yang pernah popular, khususnya dari penyanyi asal Papar yang suatu ketika dahulu mewarnai industri muzik tempatan.
“Melalui konsep tersebut, setiap finalis diwajibkan membawakan lagu kedua dari era tahun 70-an hingga 90-an, atau zaman kaset selari dengan semangat Kaamatan yang menitikberatkan kesinambungan budaya dan penghargaan terhadap khazanah seni terdahulu,” katanya.
Dari aspek pertandingan, Sugali menjelaskan format persembahan memberi ruang fleksibiliti kepada peserta untuk membawakan lagu wajib yang berbeza di setiap peringkat. Pendekatan ini dilihat mampu menguji kepelbagaian vokal, kreativiti dan keupayaan mentafsir karya setiap peserta secara lebih menyeluruh.
Katanya, antara lain, sugandoi daerah Papar mengetengahkan penggunaan “live band” pada pentas akhir. Manakala susunan muzik kategori songkotoun pula akan diselaraskan dengan identiti asal lagu, termasuk elemen bunyian dan gaya persembahan yang mencerminkan era 50-an dan 60-an untuk mengekalkan keaslian karya.
Penganjur turut berharap pendekatan “Malar Segar” mampu membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar menjadikan karya lama sebagai sumber ilham, bukan sekadar nostalgia atau perasaan rindu zaman lalu, sekali gus memastikan warisan budaya terus dipelihara dan tidak dilupakan.
