PENAMPANG: 22 April 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis semasa operasi khas di bawah Op Tapis di Jalan Pantai Berahi, Putatan, petang kelmarin.
Tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang susulan hasil risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan. Suspek kemudian dibawa untuk siasatan lanjut.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dengan jumlah berat keseluruhan 641.82 gram. Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,890.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (tidak kurang 30 tahun) dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
IPD Penampang dalam kenyataan menegaskan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah tanpa kompromi.
