Subsidi diesel perlu ambil kira realiti jalan raya Sabah – Shafie

B41EE082 7631 4147 B030 18060EAC39CB 185F0304 558A 4975 BC14 C8A447B0CAE1

KOTA KINABALU: 21 Julai 2026 – Pelaksanaan subsidi diesel di Sabah perlu mengambil kira keadaan jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang masih belum memuaskan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kebergantungan penduduk Sabah terhadap kenderaan pacuan empat roda bukanlah satu pilihan, sebaliknya disebabkan oleh keadaan geografi, jalan raya yang kurang baik, dan kekurangan pengangkutan awam, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita nak bising tentang subsidi diesel ini, kita kena kaji secara mendalam apa punca masalah,” katanya ketika membahaskan usul Penambahan Perbelanjaan Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, keadaan di Sabah jauh berbeza berbanding negara seperti Singapura dan Thailand yang mempunyai rangkaian jalan raya, sistem pengangkutan awam dan perkhidmatan kereta api yang lebih lengkap.

“Banding dengan Singapura, banding dengan Thailand, jarang kita dengar mereka menggunakan pacuan empat roda. Kenapa mereka tidak ada pacuan empat roda? Sebab jalan raya yang baik, sistem pengangkutannya ada, jalan kereta apinya ada,” katanya.

Beliau turut membangkitkan keadaan jalan raya di beberapa kawasan termasuk Kota Marudu dan Kalabakan yang dilaporkan rosak akibat penggunaan lori membawa muatan balak yang berlebihan.

Shafie mempersoalkan sama ada hasil dari aktiviti ekonomi itu benar-benar dimanfaatkan untuk meningkatkan kemudahan asas rakyat di Sabah.

“Di mana hasil yang kita boleh pastikan bahawa ianya dapat dimanfaatkan oleh rakyat di peringkat negeri Sabah?” soalnya.

Menurut beliau, pelaksanaan subsidi diesel tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu mengambil kira punca yang menyebabkan rakyat bergantung kepada kenderaan persendirian, termasuk kekurangan pengangkutan awam dan keperluan menggunakan kenderaan yang sesuai dengan keadaan jalan raya di kawasan tertentu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan kuota subsidi diesel untuk kawasan luar bandar di Sabah dinaikkan dari 200 liter ke 500 liter sebulan untuk menampung keperluan perjalanan jauh, khususnya di kawasan pedalaman.

Program BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lepas, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak diberikan kuota asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM2.10 seliter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal