SPR Keluarkan 446 Kertas Undi Pos bagi PRK Kinabatangan dan Lamag

photo 6280445087292525984 y

KOTA KINABALU: 13 Januari 2026 — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 446 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, pada isnin.

Menurut Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Setiausaha SPR, proses pengeluaran kertas undi pos itu dilaksanakan oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan kehadiran ejen undi pos dari calon-calon yang bertanding, selaras dengan prosedur dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan.

Bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan, sebanyak 251 kertas undi pos telah dikeluarkan, melibatkan 203 undi pos Kategori 1A terdiri dari petugas pilihan raya, anggota polis dan petugas media, serta 48 undi pos Kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi.

Sementara itu, bagi PRK DUN N.58 Lamag, SPR mengeluarkan 195 kertas undi pos, merangkumi 155 undi pos Kategori 1A dan 40 undi pos Kategori 1C.

Pengeluaran undi pos ini merupakan sebahagian dari persiapan awal PRK yang menyaksikan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan dan dua calon di DUN Lamag dengan hari mengundi ditetapkan pada 24 Januari 2026.

Dalam pada itu, SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan kertas undi dengan betul, mengisi Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) secara lengkap dan tepat serta mengembalikan undi pos kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum jam 5 petang pada hari mengundi.

SPR turut menegaskan kepentingan menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menularkannya di mana-mana platform media sosial.

Pada 10 Januari lalu, SPR mengesahkan calon-calon yang akan bertanding di PRK Parlimen P. 187 Kinabatangan ialah Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Goldam H. Salangah sebagai calon bebas dan Datuk Saddi bin Abdu Rahman dari Parti Warisan Sabah, manakala bagi DUN N.58 Lamag pula pertandingan menyaksikan Miha mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek mewakili WARISAN.

Sumber: Kenyataan Media SPR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal