SOGITIST perkenal adat sogit melalui permainan papan interaktif

photo 2026 06 23 15 24 00

KOTA BELUD: 23 Jun 2026 – Sekumpulan pelajar tahun akhir Program Komunikasi Instruksional dan Latihan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam memperkenalkan projek inovatif dikenali sebagai SOGITIST, iaitu permainan papan pendidikan yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap adat Sogit, warisan budaya masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah.

Projek yang dibangunkan oleh 10 pelajar sebagai Projek Tahun Akhir (FYP) itu direka untuk memperkenalkan adat Sogit secara lebih interaktif dan mudah difahami melalui pelbagai senario, cabaran dan maklumat berkaitan amalan tradisi tersebut.

photo 2026 06 23 15 24 18

Ketua projek, Nur Izzah Sofiya Kamara Asrin berkata, objektif utama SOGITIST adalah untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai konsep, fungsi dan nilai yang terkandung dalam adat Sogit.

Menurutnya, selain memperkenalkan adat tersebut, permainan itu turut mengetengahkan nilai-nilai penting seperti keharmonian, tanggungjawab sosial dan penyelesaian konflik dalam komuniti yang menjadi asas kepada pelaksanaan adat berkenaan.

photo 2026 06 23 15 24 14

“Pendekatan permainan papan dipilih kerana ia lebih santai, menarik dan mudah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat berbanding kaedah pembelajaran tradisional,” katanya.

Pasukan SOGITIST telah menjalankan program lapangan di Kampung Bangkahak, Kota Belud pada 16 hingga 17 Jun lalu.

photo 2026 06 23 15 24 07

Sepanjang program itu, para pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, mendalami pengetahuan mengenai adat Sogit dan menyaksikan demonstrasi upacara Sogit yang masih diamalkan dan dipelihara oleh penduduk kampung sehingga kini.

“Kami harapkan SOGITIST dapat menjadi medium yang membantu masyarakat mengenali dan memahami adat Sogit dengan lebih dekat, sekali gus membuka mata generasi muda mengenai kepentingan memelihara warisan budaya tempatan agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal