1,493 Kedai di Sabah terima transaksi SARA guna MyKad, bantu rakyat luar bandar

85558249 d2d3 4e55 a441 686f487940a4

KOTA KINABALU: 23 Jun 2026 – Sebanyak 1,493 kedai di Sabah kini menerima transaksi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan MyKad, sekali gus memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata lebih 13,500 kedai di seluruh negara kini berdaftar di bawah program itu termasuk lebih 6,500 kedai kecil.

“Bukan sahaja di bandar-bandar besar, tapi terus masuk ke kampung dan kawasan pedalaman kerana usaha kita adalah untuk menyenangkan rakyat yang ada kelayakan untuk mendapat SARA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Manggatal, hari ini.

Lebih 150,000 jenis produk kini boleh dibeli menerusi program itu dan kerajaan akan terus menambah bilangan produk dan penyertaan usahawan tempatan.

Program berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka melalui rangkaian kedai SARA.

“Kalau barangan itu kita buat SARA, lebih banyak dan lebih laris jualannya. Itulah usaha kita buat, bukan sahaja untuk memberi bantuan, tapi juga menolong merancakkan usahawan-usahawan tempatan,” katanya.

Kerajaan turut menyasarkan penyertaan 10,000 kedai kecil di seluruh negara demi memperluaskan capaian program berkenaan.

Dalam usaha menggalakkan lebih banyak kedai kecil menyertai program itu, kerajaan sedang meneliti kaedah mengurangkan kos penyertaan termasuk menyediakan sistem tempat jualan (POS) yang lebih mudah dan mampu milik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal