TAMBUNAN: 19 Julai 2026 – SK Kuala Namadan di Tambunan mencatat sejarah sebagai sekolah pedalaman pertama yang dilengkapi sebuah iBoard (papan putih digital) dan 35 unit Chromebook hasil sumbangan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut.
Sumbangan itu diserahkan oleh wakil Victor, Encik Ben Adner dan Puan Farah, kelmarin untuk pemasangan dan ujian. Pihak sekolah mengutuskan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kemudahan berkenaan.

iBoard yang menggabungkan fungsi televisyen, komputer dan papan putih dalam satu peranti membolehkan guru memaparkan bahan pembelajaran, memainkan video, melayari internet dan menulis terus pada skrin menggunakan jari atau pen digital. Chromebook pula berfungsi sebagai aset sokongan yang bersambung terus ke iBoard secara serentak.
Menurut jurucakap SK Kuala Namadan, penggunaan iBoard menjadikan sesi pengajaran lebih menarik, interaktif dan mudah difahami. Katanya, kemudahan ini amat bermanfaat kepada murid di pedalaman untuk menikmati pembelajaran digital yang lebih berkualiti dan setanding dengan sekolah di bandar.
Victor ketika dihubungi berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh warga sekolah dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan. Tegasnya, keutamaan terhadap pendidikan di peringkat persekolahan perlu diperkasa demi melahirkan generasi berilmu, kreatif dan celik teknologi selaras dengan perkembangan era digitalisasi.

