KOTA KINABALU: 25 Ogos 2026 – Kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuh demi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah terus berkembang secara mampan dan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata kerajaan berperanan menyediakan ekosistem kondusif menerusi dasar yang bersesuaian, pembangunan infrastruktur, peningkatan kesalinghubungan dan kemudahan sokongan kepada sektor perniagaan.
Menurutnya, usaha tersebut perlu disokong penglibatan aktif pemain industri, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan dan pemimpin korporat yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang.
Katanya, gabungan kepakaran kerajaan dan sektor swasta mampu menghasilkan idea, peluang pelaburan dan kerjasama baharu yang dapat memperkukuh struktur ekonomi negeri dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Ewon berkata demikian dalam perutusan sempena CEO Masterclass 2026 anjuran Sabah Young Business and Industry Leaders (SYBIL) bersama Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Program bertemakan Leadership In Action – Beyond Certainty itu menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada CEO, pemilik perusahaan, pemimpin industri, ketua jabatan dan pemain perniagaan.
Beliau turut menekankan bahawa program seumpama itu perlu diterjemahkan kepada tindakan, khususnya melalui pembentukan jaringan rentas industri dan penerokaan peluang perniagaan baharu.
Ewon berharap perkongsian ilmu dan pengalaman sepanjang program dapat berkembang menjadi inisiatif ekonomi, pelaburan dan peluang pekerjaan yang memberi impak langsung kepada pembangunan Sabah.
Turut hadir Presiden SYBIL, Datuk James Wong dan Presiden MICCI Sabah, Datuk Susan Chang.

