KOTA KINABALU: 29 Julai 2026 — Shandong TV dari China akan menjalankan penggambaran sebuah program televisyen di Sabah pada Ogos ini sebagai sebahagian daripada penerbitan yang turut melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Perancangan itu dimaklumkan ketika kunjungan hormat delegasi Shandong TV kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai Mei Sing, di pejabat beliau kelmarin.
Pertemuan itu turut membincangkan peluang mempromosikan pelancongan, seni, warisan budaya dan tarikan semula jadi Sabah kepada penonton di China menerusi penerbitan program televisyen berkenaan.
Selain itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pertukaran budaya dan kerjasama media antara Malaysia dan China.
Delegasi itu diketuai Presiden Sabah Institute of Art (SIA), Prof. Dato’ Dr. Wilson Yong Tung Yung, bersama Pengarah Filem merangkap Presiden Women Creative Association of Malaysia (WACAM), Michelle Xin, dan wakil Shandong TV, Ms. Kong Xiang Lin.

