Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
PENAMPANG: 19 Julai – Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.
Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad itu turut memeriksa 62 individu melibatkan 58 kenderaan. Hasil operasi, polis mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.
Sementara itu, polis menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa demi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol untuk meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang

