MV ‘Lelah Hati Ini’- perpisahan bukan kerana cinta hilang – Hosiani

WhatsApp Image 2026 11 12 at 10.37.33 PM

Oleh David E.

KOTA KINABALU: Lagu “Lelah Hati Ini” bukan sekadar cerita putus cinta. Ia tentang hati yang letih, dan tentang perpisahan yang berlaku bukan kerana cinta sudah hilang.

MV rasmi lagu itu dilancarkan di YouTube malam ini, jam 8 malam. Penyanyinya, Hosiani James Jaimis atau lebih dikenali sebagai Hosiani Keewon, menulis sendiri lirik dan lagu ini.

Lagu “Lelah Hati Ini” turut mendapat kerjasama Sony Music Malaysia dari segi pengedaran audio ke platform digital.

“Ini merupakan karya pertama saya yang menjalinkan kerjasama pengedaran bersama Sony Music Malaysia. Sudah tentu, ini menjadi satu pencapaian dan pengalaman yang cukup bermakna dalam perjalanan seni muzik saya,” katanya.

“Not all goodbyes happen because love is gone. Sometimes, the heart is simply tired.”

Ayat itu dikongsi Hosiani dalam coretan promosi MV. Ringkas, tetapi cukup menyentuh perasaan ramai penonton.

Hosiani mengaku dia mudah tersentuh dengan luahan orang lain. Namun, lagu ini diinspirasikan khusus dari kisah nyata orang terdekat. “Cumanya, saya tidak menulis keseluruhan cerita itu dalam lirik,” katanya.

“Lagu ini bukan sekadar bercerita tentang putus cinta atau sedih sebab perpisahan. Ia mengajar kita bahawa cinta sahaja tidak cukup. Tidak kisah berapa kali kita memulakan hubungan baru, kalau bukan dengan orang yang tepat, kita tetap rasa cinta sahaja tidak cukup.

“Setiap perpisahan bukan bermaksud kita gagal dalam percintaan. Perpisahan juga boleh menjadi langkah untuk seseorang lebih matang dalam hubungan seterusnya,” jelasnya.

“Lelah Hati Ini” versi Dusunnya, “Orologo Ma Ginawo,” sudah dilancarkan April lalu.

Ditanya mengapa versi Melayu dikeluarkan, Hosiani berkata: “Versi Melayu akan memberikan pasaran lebih besar. Orang yang tidak faham Dusun akan mudah faham. Ramai juga yang memohon versi karaoke dalam bahasa Melayu.”

Dia menegaskan pilihan bahasa bukan soal menolak bahasa ibunda. Dia mahu mendekatkan diri kepada pendengar.

“Setiap pendengar ada citarasa masing-masing. Terpulang kepada kami bagaimana cara kami mendekatkan diri kepada pendengar,” ujarnya.

Versi Dusun sebelum ini, katanya, mendapat sambutan yang baik. Dia mengambil kira pendapat majoriti pendengarnya.

Hosiani pernah berkata dia belajar bahasa Dusun melalui lagu. Kini, dia sendiri menyanyi dalam Dusun dan Melayu.

“Semakin banyak saya keluarkan lagu dalam bahasa Dusun, saya percaya semakin dalam cinta kita kepada bahasa ibunda sendiri. Ini boleh menjadi salah satu cara saya untuk memelihara bahasa ibunda dan menanam sifat ingin belajar bahasa ibunda lebih dalam di kalangan anak muda,” katanya.

Dia juga percaya terjemahan dari bahasa Dusun ke bahasa Melayu membantu pendengar menghayati lagu versi Dusun.

Hosiani membetulkan sedikit maklumat tentang penyertaannya dalam Unduk Ngadau. Desakan kakak berlaku tahun 2015. Penyertaan tahun 2018 dibuat atas kerelaan sendiri.

“Walaupun tahun 2015 itu saya didesak, saya sangat bersyukur dengan peluang itu. Waktu tu pemikiran saya belum matang. Kalau kakak saya tidak desak, mungkin saya tidak akan berada di sini sekarang,” katanya.

Hosiani tidak kisah jika orang masih mengenalinya sebagai Unduk Ngadau.

“Saya sentiasa memandang tinggi dan menghargai gelaran Pemenang Unduk Ngadau Sabah 2018. Kalau orang masih mengenali saya sebagai Unduk Ngadau pun, saya rasa tiada masalah dan saya masih selesa,” ujarnya.

Sejak 2022, Hosiani mengacarakan radio pagi ERA Sabah, jam 6 hingga 10 pagi. Disiplin radio, katanya, mengubah cara dia menyanyi dan menulis lirik.

“Iyah. Banyak saya dapat ilmu dan perkongsian dari orang-orang yang bekerja dalam radio. Mereka lebih banyak pengetahuan tentang hala tuju lagu, apa yang boleh dan tidak boleh,” katanya.

Pengalaman teater dalam muzikal “Solungkoi” tahun 2018 juga membantu, katanya. “Dari muzikal teater tu, saya banyak belajar cara penyampaian emosi yang sesuai dalam sesebuah lagu. Ia juga melatih keberanian saya di atas pentas,” tambahnya.

Hosiani menyifatkan jangkaan penonton sebagai cabaran terbesar artis Sabah tahun 2026.

“Jangkaan penonton sedikit sebanyak mempengaruhi semangat kami dalam menghasilkan karya tempatan. Tapi ini bukan keluhan dari saya. Ini sekadar pernyataan betapa saya sedar akan kesan jangkaan penonton kepada semangat pengkarya tempatan,” katanya.

Dia melihat tekanan itu secara positif. “Maklum balas dari jangkaan penonton ini dapat memberi kebaikan dari segi memperbaiki hasil karya, bergantung kepada komen pendapat penonton dan cara penerimaan seseorang pengkarya,” ujarnya.

MV “Lelah Hati Ini” diarahkan oleh Cryrister Moris, yang juga bertindak sebagai editor. Penggambaran dibuat Elvin Romeo dan Cryrister Moris. Hosiani sendiri menjadi penerbit MV.

Barisan pelakon terdiri daripada Gelvia Vanessa (UN Sabah 2026) dan Kristern Olwen (Naib Juara Keempat RTK Peringkat Negeri 2026).

Hosiani berharap penonton memahami isi dan maksud lirik lagu ini.

“Saya harap dari MV Lelah Hati Ini, orang akan lebih memahami isi dan maksud lirik. Selebihnya, nikmati dan hayati lagu ini,” katanya.

MV “Lelah Hati Ini” boleh ditonton mulai 13 November 2026, jam 8 malam di YouTube. Peminat boleh mengikuti Hosiani melalui saluran YouTube (https://youtube.com/@hosianikeewon), TikTok (https://www.tiktok.com/@hosianikeewon), Instagram (https://www.instagram.com/hosianikeewon_official), halaman Facebook (https://www.facebook.com/share/1G3tQcThnR/) dan akaun Facebook disahkan (https://www.facebook.com/share/1PZGAiUvxY/).

“Jumaat biasanya Global Release Day dalam muzik. Mungkin ada peluang untuk masuk dalam New Music Friday release di YouTube. Sebab itulah saya ambil peluang release pada hari Jumaat,” katanya.

Hosiani melihat lagu ini sebagai kisah hati yang letih — dan keberanian mengakui keletihan itu. Malam ini, dia menyanyikannya untuk semua yang pernah merasai keletihan hati.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal