“Saya hampir tinggalkan idea ini” – Juara RTK 2022 bangunkan platform AI khas untuk rakyat Sabah

a4a90b98 849a 41d5 8560 0e56f10d4b9b 1

Oleh: Roodwill

KOTA KINABALU: 6 Jun 2026 – Dua tahun lalu, Stefanus Able hampir melupakan impiannya membangunkan sebuah platform kecerdasan buatan (AI) untuk membantu rakyat Sabah. Namun, kegigihannya belajar dari awal akhirnya melahirkan Brand Growth Engine – platform personal branding pertama seumpamanya yang dibina khas untuk konteks tempatan.

“Saya hampir tinggalkan idea ini…”

Bekas juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2022 itu mengakui kekurangan pengetahuan dalam pembangunan aplikasi hampir menyebabkan beliau meninggalkan idea yang dicetuskan bagi membantu rakyat Sabah membina nama dan menjana pendapatan melalui media sosial.

“Saya hampir tinggalkan idea ini dua tahun lalu kerana kurang pengetahuan tentang cara membangunkan aplikasi. Tetapi setiap tahun saya tetap nampak keperluan itu dalam kalangan orang kita, jadi saya terus belajar sehingga ia menjadi kenyataan,” katanya.

Anak kelahiran Keningau berusia 30 tahun itu bukan sekadar mengejar minat terhadap teknologi. Ideanya lahir dari pemerhatian selepas menjuarai RTK pada 2022.

Masalah yang dilihat: Bakat ada, sistem tiada

Stefanus melihat ramai individu berbakat di Sabah – pencipta kandungan, usahawan, pemuzik, pemenang pertandingan – mempunyai potensi besar tetapi tidak tahu bagaimana membina kredibiliti dan mengekalkan kehadiran di media sosial.

“Ramai orang Sabah ada bakat, ada cerita, ada produk yang bagus, tetapi tersekat apabila sampai kepada bahagian untuk membina nama di media sosial dan bagaimana mahu berkongsi maklumat secara konsisten. Sebenarnya semua tahu mereka perlu personal branding, tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana. Jadi saya mahu bina satu alat atau platform yang boleh selesaikan semua masalah itu, bukan secara teori saja tetapi secara praktikal,” katanya.

Idea itu mula tercetus pada 2023 dan mengambil masa kira-kira empat tahun untuk direalisasikan. Brand Growth Engine dijadual dilancarkan secara rasmi pada Ahad ini.

Bukan latar belakang IT, Namun belajar sendiri

Menariknya, Stefanus bukan berasal dari bidang teknologi maklumat. Graduan kejuruteraan elektrik ini kemudiannya menceburi dunia media dan fotografi sebelum beralih sepenuhnya ke bidang pemasaran digital dan penjenamaan peribadi. Kini, beliau mengendalikan The Growth Partner yang membantu perniagaan melalui pembangunan laman web dan pengiklanan dalam talian.

Perjalanan membangunkan platform itu tidak semudah yang disangka. Selain berdepan cabaran kewangan, beliau terpaksa mempelajari sendiri pelbagai alat AI dan sistem pembangunan aplikasi.

“Disebabkan latar belakang saya bukan dalam bidang IT, aspek teknikal dan pembangunan sistem memang mencabar. Tetapi dengan perkembangan pelbagai alat AI yang ada sekarang, saya terus belajar dan akhirnya impian ini dapat direalisasikan,” katanya.

Kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 dibelanjakan untuk mendapatkan pelbagai alat dan perkhidmatan digital yang diperlukan sepanjang proses pembangunan.

Apa itu Brand Growth Engine?

Platform ini dibangunkan untuk membimbing pengguna langkah demi langkah mengenal pasti identiti diri, membina naratif peribadi, merancang kandungan dan mengembangkan pengaruh secara tersusun.

Antara alat utama yang ditawarkan:

  • Makmal Identiti
  • Kisah Asal
  • Pillar Konten
  • Bank Konten
  • Panel Konten

Stefanus menegaskan platform ini berbeza daripada alat AI umum seperti ChatGPT.

“ChatGPT atau alat AI lain adalah alat yang umum. Pengguna perlu tahu apa yang perlu ditanya dan strategi untuk setiap pertanyaan. Brand Growth Engine pula dibina khas untuk personal branding dengan rangka kerja yang tersusun. Ia bukan sekadar menjawab soalan tetapi membimbing pengguna mengikut proses yang telah disusun,” katanya.

Komuniti mula tumbuh, sasaran anak Sabah

Setakat ini, komuniti pengguna platform itu mencecah kira-kira 50 orang, termasuk tiga peserta terbaik RTK Peringkat Negeri Sabah 2026. Jumlah itu dijangka terus meningkat selepas pelancaran rasmi.

Bagi Stefanus, cabaran terbesar dalam membina jenama peribadi dalam kalangan rakyat Sabah bukanlah kekurangan bakat, tetapi ramai masih merasakan kisah hidup mereka tidak cukup menarik, selain tiada sistem yang mudah difahami dan sesuai dengan budaya tempatan.

“Masalahnya bukan bakat. Bakat memang ada. Yang kurang ialah satu sistem yang senang diikut, dalam konteks dan bahasa yang mereka faham. Saya jumpa terlalu ramai orang berbakat, pemenang pertandingan, pencipta kandungan dan usahawan kecil yang ada cerita kuat dan kebolehan sebenar, tetapi tersekat apabila mahu membina nama di media sosial,” katanya.

Beliau percaya personal branding yang kukuh mampu membuka peluang pendapatan melalui kerjasama jenama, promosi produk dan perkhidmatan sendiri. Apabila seseorang mempunyai identiti yang jelas dan dipercayai, lebih mudah untuk membina pengaruh dan peluang ekonomi baharu.

Mesej terakhir: “Anda tidak perlu menjadi orang lain”

Walaupun platform yang dibangunkannya berteraskan teknologi AI, matlamat utama Stefanus kekal sama seperti ketika idea itu mula tercetus beberapa tahun lalu: mahu melihat lebih ramai anak Sabah berani mengetengahkan cerita, bakat dan kepakaran mereka kepada dunia.

“Anda tidak perlu menjadi orang lain untuk dilihat. Cerita anda, latar belakang anda dan cara anda sendiri itulah kekuatan anda. Mula dengan apa yang ada dan kekal konsisten,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal