KOTA KINABALU: 6 Jun 2026 – Pasukan Bola Sepak Veteran PSKPP Daerah Telupid/Tongod (Eduvet Telupid/Tongod) membuktikan status sebagai naib juara Kejohanan PSKPP Peringkat Negeri Sabah 2025 apabila menewaskan LSNS Sportrek dengan keputusan 5-4 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Likas, 3 Jun lepas.
Aksi sengit sepanjang 90 minit itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mempamerkan permainan bertenaga dan menghiburkan. Namun, pengalaman dan kualiti pasukan Eduvet Telupid/Tongod akhirnya menjadi penentu kemenangan.
“Kami datang bukan sekadar bermain, tapi untuk menghormati semangat kesukanan dan veteran yang telah berjasa. Kemenangan ini hasil kerja berpasukan,” kata wakil pasukan selepas perlawanan.

Meskipun tewas, LSNS Sportrek memberikan tentangan hebat dengan menurunkan beberapa bekas pemain berpengalaman peringkat Sabah dan kebangsaan.
Antara nama besar yang beraksi termasuk Jelius Ating, Siva, Arius Duis, Jenius Karib serta bekas pemain MPPJ Selangor, Walter Antahar. Kehadiran mereka menambah nilai dan daya saing perlawanan tersebut.
Selain menjadi medan menguji kekuatan pasukan, perlawanan itu turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pemain veteran, Junaidi Semudi dari SK Imbak, yang telah lama berbakti kepada pembangunan bola sepak veteran di daerah Telupid dan Tongod.

Pengarah program yang juga Presiden Kelab Bolasepak Aki Doji Telupid, Tommy Amir, berkata perlawanan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kedua-dua pasukan, malah menjadi platform menghargai sumbangan individu yang telah lama berbakti.
“Jasa dan komitmen Junaidi dalam pasukan wajar dikenang. Beliau merupakan salah seorang tonggak yang banyak menyumbang kepada perkembangan sukan ini selama ini,” ujar Tommy Amir.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) atas sokongan dan kemudahan yang diberikan sehingga membolehkan pasukan Eduvet Telupid/Tongod beraksi di venue berprestij tersebut.
Perlawanan persahabatan itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk perpaduan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pemain veteran dan komuniti bola sepak negeri.
