Penuntut UMS Maut Selepas Terjatuh di Dewan Canselor

photo 6208246987694476558 y

KOTA KINABALU: 19 Disember 2025 – Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusia 23 tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari Dewan Canselor, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.10 pagi, sebelum sepasukan polis dan pegawai penyiasat digerakkan ke lokasi.

Siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas Dewan Canselor oleh dua pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada jam 11.10 pagi.

Pemeriksaan luaran menunjukkan tiada kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh.

Pasukan Forensik IPK Sabah turut berada di lokasi dan semakan rakaman CCTV mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 17 Disember 2025 kira-kira jam 6.09 petang.

Setakat ini, tiada saksi awam menyaksikan kejadian, siasatan mendapati tiada unsur jenayah terlibat dan kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).

ACP Kasim menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang masih dijalankan.

Sumber: Kenyataan Media ketua polis Kota Kinabalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal