Santai WARISAN Monih Himpun Lebih 300 Penduduk

Gambar WARISAN

KUALA PENYU: 28 November 2025 – Program Santai dan Tayangan Dokumentari anjuran Calon Warisan DUN N.33, Monih Epin, berjaya mengumpulkan lebih 300 penduduk tempatan di Markas Warisan Kampung Bundu, malam semalam.

Tayangan dokumentari berdurasi satu jam bertajuk Tatana menjadi tumpuan utama program tersebut, yang memaparkan sejarah kewujudan kaum Tatana serta perkembangan komuniti itu sehingga ke hari ini. Tayangan berkenaan turut diselangi sesi kempen dalam suasana santai dan penuh kekeluargaan.

Sebagai penerbit bersekutu dokumentari tersebut, Monih menegaskan komitmennya untuk terus memartabatkan budaya setempat. Beliau menyatakan usaha akan diperluas untuk menyokong penghasilan video berkaitan budaya dan warisan komuniti lain seperti Bisaya, Brunei dan Kadayan.

Selain agenda kebudayaan, Monih turut menekankan fokus pembangunan yang merangkumi kemudahan asas, pemerkasaan ekonomi, pendidikan dan pembangunan modal insan bagi masyarakat Kuala Penyu.

Program berkenaan bukan sahaja memperkenalkan karya dokumentari tempatan, malah menjadi platform menghimpunkan masyarakat pelbagai latar bagi menelusuri identiti dan warisan budaya daerah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal