Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 29 Julai 2026 – Sabah meletakkan sasaran 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan 66 pingat emas pada Para SUKMA Selangor 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu realistik berdasarkan rekod cemerlang kontinjen negeri pada edisi lalu.
Katanya, pencapaian terbaik SUKMA dicatat di Perak 2018 iaitu 33 emas, 27 perak dan 46 gangsa. Manakala di Para SUKMA, Sabah menjadi naib juara keseluruhan di Sarawak 2024 dengan kutipan 62 emas, 42 perak dan 32 gangsa.

“Rekod terbaik kami di Para SUKMA ialah juara keseluruhan di Kuala Lumpur 2022 selepas mengumpul 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Akhir Persiapan Kontinjen Sabah pada Selasa.
Sabah akan bertanding dalam 36 daripada 37 sukan di SUKMA dan 10 acara di Para SUKMA. Antara sukan yang disertai ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, boling padang, gimnastik, golf, hoki, judo, karate, lawan pedang, memanah, menembak dan olahraga.
Untuk Para SUKMA, acara yang disertai termasuk para badminton, boccia, para boling padang, para catur, para memanah, para olahraga, para ping pong, powerlifting, para renang dan para tenpin boling.
Seramai 943 orang membentuk kontinjen SUKMA Sabah – 744 atlet (385 lelaki, 359 wanita), 51 pengurus pasukan dan 148 jurulatih. Manakala kontinjen Para SUKMA pula dianggotai 271 orang, terdiri daripada 154 atlet dan 117 pegawai.
Nizam merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan negeri. Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan.
Beliau berharap semua atlet dan pegawai menunjukkan prestasi terbaik, menjaga disiplin tinggi dan menjulang nama Sabah demi mencapai sasaran ditetapkan.
SUKMA ke-22 berlangsung 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA Selangor 2026 diadakan pada 5 hingga 11 September 2026.
Sumber: JAPEN

