Sabah kekal tuntut hak 40%, utamakan bayaran interim

Copy of Gambar Artikel 1 20260428 213855 0000

KOTA KINABALU: 28 April 2026 – Kerajaan Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk menuntut hak 40 peratus dari hasil Persekutuan yang dikutip di negeri ini, sambil meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan jumlah sebenar pemberian khas.

Pembantu Menteri Kewangan I Sabah, Ben Chong Chen Bin, berkata beberapa siri rundingan telah diadakan tahun ini, dengan pihak Persekutuan membentangkan data kutipan hasil Sabah untuk tempoh 1974 hingga 2025 meliputi cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai dan hasil petroleum.

Bagaimanapun, data tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum kerana terhad kepada tujuan rasmi mesyuarat.

Menurut beliau, sebahagian komponen hasil masih dalam penelitian untuk menentukan kesesuaiannya dalam pengiraan pemberian khas. Sehubungan itu, kerajaan negeri mencadangkan supaya jumlah yang tidak dipertikaikan dibayar terlebih dahulu sebagai bayaran interim, manakala baki akan dimuktamadkan kemudian.

Dalam masa sama, kerajaan negeri menekankan keperluan menyemak bayaran interim sebanyak RM600 juta untuk tahun 2026 agar selaras dengan formula 40 peratus seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April lalu, beliau menjelaskan penangguhan pelaksanaan hak 40 peratus itu hanya melibatkan tuntutan untuk tempoh “lost years” dari 1974 hingga 2021. Justeru, Sabah telah menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat bayaran untuk tuntutan tahun 2022 hingga 2025.

Tegasnya, Sabah tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak kewangan negeri dan akan terus memperjuangkannya melalui rundingan dan saluran perundangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal