SANDAKAN: 26 June 2026 – Sabah kehilangan Amaco, beruang matahari tertua dalam jagaan Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), yang mati pada 24 Jun lalu di usia 33 tahun akibat komplikasi kesihatan berkaitan usia.
BSBCC memaklumkan keadaan kesihatan Amaco semakin merosot sejak beberapa minggu lalu selepas hilang selera makan, lemah dan mengalami kesukaran untuk berdiri.
“Ujian darah menunjukkan fungsi buah pinggangnya semakin merosot selain mengalami anemia. Pada pagi 24 Jun, ketika pemeriksaan rutin dijalankan, penjaganya mendapati Amaco telah mati dengan tenang,” menurut kenyataan BSBCC.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan bedah siasat mendapati berlaku kesesakan yang ketara pada paru-paru dan hati, menunjukkan sistem peredaran darahnya terjejas dengan serius.
“Penemuan ini konsisten dengan kemerosotan organ akibat faktor usia dan penyakit jantung kronik,” menurut kenyataan itu.
Amaco mempunyai kisah hidup yang mencabar ketika menghabiskan 18 tahun pertama hidupnya di dalam sangkar kecil di sebuah ladang sebelum diselamatkan dan dipindahkan ke BSBCC.
Walaupun diberikan akses ke kawasan hutan, Amaco lebih gemar berada berhampiran sangkarnya kerana di situlah dia berasa paling selamat selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam kurungan.
Sebagai beruang matahari paling tua di BSBCC, Amaco dikenali dengan sifatnya yang lembut, berdikari dan mempunyai keperibadian tersendiri. Haiwan itu juga sering mengeluarkan bunyi salakan apabila tidak berpuas hati.
Pada usia 33 tahun, Amaco hidup jauh melebihi jangka hayat purata beruang matahari liar dan menjadi antara penghuni paling disayangi di BSBCC.
Pengasas BSBCC, Wong Siew Te, turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang membantu menyediakan penjagaan, keselesaan dan kebajikan terbaik untuk Amaco sepanjang hayatnya.
“Terima kasih kepada semua penyokong Amaco. Sokongan anda membolehkan kami menyediakan penjagaan sepanjang hayat, keselesaan, aktiviti pengayaan dan kebajikan terbaik untuknya. Disebabkan anda, Amaco dapat menghabiskan sisa hidupnya dikelilingi individu yang benar-benar menyayanginya,” katanya.
Beliau berkata, Amaco akan sentiasa dikenang atas kenangan, pengajaran dan kegembiraan yang dibawanya sepanjang berada di pusat konservasi itu.
“Terima kasih, Amaco, atas segala kenangan, pengajaran dan kegembiraan yang kamu bawa kepada kami. Kamu akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati kami dan tidak akan dilupakan. Berehatlah dengan tenang, sahabat kami,” katanya.
Sumber: Borneon sun bear conservation centre

