“Sabah First” Kunci Kejayaan SD Bank

Share the news

KOTA KINABALU, 5 Jun 2025: Prinsip “Sabah First” yang diterapkan dalam dasar baharu Kerajaan GRS kini terbukti sebagai kunci kejayaan transformasi institusi kewangan negeri tersebut — sekaligus menjadi contoh bagaimana syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) boleh berjaya sekiranya benar-benar mengutamakan kepentingan Sabah.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Kenny Chua berkata, kejayaan awal pemulihan Sabah Development Bank (SDB) yang dilaporkan oleh The Edge Malaysia menunjukkan perubahan ketara berbanding pendekatan lama yang banyak merugikan negeri.

“Sejak Kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran negeri, kita amat maklum tentang skala cabaran yang diwarisi. Banyak GLC dan institusi negeri berada dalam kemerosotan kewangan akibat dasar yang tidak meletakkan Sabah sebagai keutamaan.

“Kita mesti betulkan dahulu nilai teras yang menjadi asas kepada pentadbiran kita. Kalau Sabah mahu terus maju, asas pentadbiran mesti diperbetulkan — bermula dengan ketelusan, integriti, dan dasar yang benar-benar berpaksikan kepada kepentingan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kenny, yang juga merupakan mantan Pembantu Meneteri Kewangan, pemulihan SDB bermula pada separuh kedua 2023 menerusi pelan transformasi selama tiga tahun di bawah kepimpinan baharu Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan yang diperbaharui.

Memetik laporan The Edge, beliau berkata sejak itu SDB berjaya mengurangkan obligasi bon daripada RM5 bilion pada Julai 2023 kepada RM3 bilion, manakala nisbah modal keseluruhan meningkat daripada 7.9 peratus pada akhir 2023 kepada 19.6 peratus menjelang akhir 2024.

“Hari ini kita lihat hasil yang sangat jelas — pinjaman tidak berbayar dipulihkan, obligasi bon dikurangkan, nisbah modal diperkukuh, dan yang paling penting, penyaluran pinjaman kini benar-benar menyokong pembangunan Sabah — dalam sektor seperti bekalan air, tenaga dan infrastruktur yang memberi manfaat terus kepada rakyat negeri ini.”

Menurut Kenny, pendekatan SDB hari ini jauh berbeza berbanding masa lalu.

“Di bawah dasar baharu, SDB tidak lagi menyalurkan pinjaman kepada taikun-taikun besar di Semenanjung Malaysia yang akhirnya gagal membayar dan membebankan Sabah. Kini, fokus kita jelas — “Sabah First”. Pembiayaan diberikan kepada pemaju-pemaju dalam Sabah yang membawa impak langsung kepada rakyat kita,” tegasnya.

Beliau berkata, kejayaan SDB adalah permulaan kepada agenda reformasi ekonomi GRS.

“Apa yang kita lihat di SDB hari ini hanyalah permulaan. Banyak lagi langkah pembaharuan akan diperkenalkan. Yang penting, pendekatan kita kini jelas — Sabah First. Keutamaan mutlak adalah projek-projek yang benar-benar membawa faedah kepada rakyat Sabah.

“Saya yakin, apabila tiba masanya, rakyat Sabah sendiri akan melihat dan merasai hasil sebenar segala perancangan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0. Inilah janji kami — untuk terus melaksanakan pembaharuan demi membina Sabah yang lebih kukuh, berdaya saing dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal