TOKYO: Bilangan kelahiran di Jepun tahun lalu jatuh di bawah 700,000 buat pertama kali sejak rekod bermula, menurut data kerajaan yang diumumkan Rabu.
Jepun merekodkan hanya 686,061 kelahiran pada 2024 — turun 41,227 berbanding 2023, angka terendah sejak rekod bermula pada 1899.
Menurut Bank Dunia, Jepun mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco.
Perdana Menteri Shigeru Ishiba menyifatkan keadaan ini sebagai “krisis senyap” dan berikrar memperkenalkan langkah mesra keluarga seperti waktu kerja yang lebih fleksibel untuk membendung trend tersebut.
Data Kementerian Kesihatan juga menunjukkan kadar kesuburan negara itu turun ke paras terendah iaitu 1.15 — purata bilangan anak bagi setiap wanita.
Jepun turut merekodkan 1.6 juta kematian pada 2024, naik 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ishiba menyeru agar wilayah luar bandar dihidupkan semula kerana banyak kampung tua yang semakin terpinggir akibat penduduk tua yang semakin ramai.
Di lebih 20,000 komuniti di Jepun, majoriti penduduk berumur 65 tahun ke atas, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Negara dengan 123 juta penduduk ini turut menghadapi kekurangan tenaga kerja yang serius kerana penuaan populasi, diperparah oleh peraturan imigresen yang ketat.
Sebagai perbandingan, kadar kesuburan di Korea Selatan lebih rendah iaitu 0.75 pada 2024, walaupun mencatat sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya akibat peningkatan kadar perkahwinan.
Gambar hiasan.

