Tiga remaja perogol ditahan polis kurang 24 jam

Gambar Tiga Remaja Kes Rogol

TAWAU: 23 April 2026 – Polis menahan tiga remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di Merotai, pada 22 April, kurang 24 jam selepas laporan diterima

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, memaklumkan ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun itu ditahan sekitar jam 6.50 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di kawasan Pondok Polis Merotai.

Menurut beliau, kes terbongkar selepas mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga menceritakan kejadian tersebut kepada guru kaunseling sekolah sebelum dimaklumkan kepada ibu mangsa, yang kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa oleh salah seorang suspek, yang juga pelajar tingkatan lima, menaiki sebuah kenderaan ke sebuah rumah sebelum dia dirogol.

Dua lagi suspek ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kejadian tersebut. Selain itu, mangsa turut mendakwa berdepan tekanan emosi kerana dihina dan diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Polis menegaskan bahawa penglibatan mana-mana individu dalam jenayah seksual, termasuk yang bersubahat, akan dikenakan tindakan tegas. Siasatan dijalankan secara menyeluruh untuk memastikan keadilan kepada mangsa dan mencegah kejadian serupa berulang.

Pihak polis turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan dan perubahan tingkah laku anak-anak, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah dan komuniti dalam membendung gejala sosial dalam kalangan remaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal