Sabah Catat 1,127 Jumlah Masjid, Tertinggi Di Malaysia

Gambar Sabah Masjid Terbanyak

TUARAN: 21 September 2025 – Sabah kini mencatatkan rekod sebagai negeri dengan jumlah masjid terbanyak di Malaysia iaitu 1,127 buah, selain 1,222 surau yang tersebar di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pencapaian itu bukan sekadar angka, tetapi bukti komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam dan menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan ummah.

Beliau menegaskan, masjid dan surau perlu diimarahkan dengan aktiviti ilmu, dakwah, pendidikan serta perpaduan agar benar-benar memberi kesan kepada masyarakat.

Perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Tuaran menambah jumlah rumah ibadat Islam di daerah itu kepada 69 buah, merangkumi 38 surau dan 31 masjid. Pertambahan ini seiring dengan pertumbuhan penduduk serta pembangunan pesat Tuaran yang bersempadan dengan Kota Kinabalu.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang berperanan penting dalam pembinaan surau berkenaan melalui kerjasama gotong-royong dan sumbangan dana.

Menurut beliau, rumah ibadat bukan hanya pusat ibadah semata-mata, tetapi juga berfungsi sebagai ruang penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu serta pembangunan sosial dan ekonomi.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal