Jurusolek Sabah Lakar Nama di Peringkat Antarabangsa

photo 2025 09 22 19 56 14

KOTA KINABALU: 22 September 2025 – Bermula dengan pertandingan solekan ketika di bangku sekolah, anak jati Lahad Datu, Azmier Hisyamuqris, 32, kini melakar nama sebagai jurusolek selebriti bertaraf antarabangsa.

Azmier yang berketurunan Dusun Idahan pernah menata rias wajah penyanyi Indonesia Dewi Persik, Cakra Khan, Miss World 2022 Karolina Bielawska dan Miss International 2024 Huỳnh Thị Thanh Thủy.

Tahun ini, beliau turut diberi peranan penting bersama pasukan Miss Universe Malaysia 2025.

photo 2025 09 22 19 56 18

Anak bongsu daripada empat beradik itu menjelaskan minatnya bermula sejak sekolah menengah apabila menjadikan ibu dan kakaknya sebagai kanvas, selain gemar membeli majalah hiburan serta fesyen.

Katanya, sokongan keluarga menjadi pendorong utama sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa, jelasnya.

Setiap tawaran kerja dilaksanakan sepenuh hati kerana mengutamakan hasil terbaik, manakala keluarga di kampung menjadi sumber kekuatan untuk terus maju.

photo 2025 09 22 19 56 09

Mengidolakan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, Azmier menjadikan kejayaan artis itu sebagai inspirasi bahawa impian mampu dicapai tanpa mengira latar belakang.

Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar kerjaya dan mengakui pengorbanan meninggalkan keluarga bukan sesuatu yang mudah, namun tekad memanfaatkan setiap peluang dalam industri.

Menurutnya, perjuangan dalam bidang seni solekan bukan untuk bersaing dengan jurusolek lain, sebaliknya mengejar kepuasan diri dan memberikan hasil terbaik kepada pelanggan agar mampu memberi impak besar kepada orang lain.

Azmier menegaskan, pencapaiannya dalam bidang seni solekan adalah usaha untuk membanggakan keluarga dengan pegangan hidup bahawa rezeki bukan untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ujian sejauh mana seseorang sanggup memberi walaupun mampu memilih untuk memiliki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal