KOTA KINABALU: 1 Julai 2026 – Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) di Sabah kini meliputi 2.227 juta hektar, atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah negeri, berikutan pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu yang melibatkan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu menyumbang kepada pencapaian Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, yang mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dilindungi serta diurus secara berkesan menjelang 2030.

Beliau berkata Sabah bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah memainkan peranan penting dalam agenda pemuliharaan global.
Kerajaan negeri terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034, yang menjadi kerangka strategik untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti secara bertanggungjawab dan berasaskan sains, di samping menjana nilai tambah ekonomi dan membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

Sabah juga kekal sebagai destinasi utama penyelidikan biodiversiti, dengan Hutan DaMaI – merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak – sebagai hab penyelidikan bertaraf dunia yang menjadi tumpuan penyelidik tempatan dan antarabangsa.
Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 membuktikan Sabah diiktiraf sebagai antara pusat utama penyelidikan biodiversiti di rantau ini.
Pada September 2025, Kerajaan Sabah memeterai Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama dengan Botanickel Sabah Sdn. Bhd., yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan bioekonomi serta menarik minat penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa.
Selaras dengan usaha memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi, kerajaan turut memperkenalkan Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah sebagai platform mengiktiraf penyelidik tempatan dan antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ilmu saintifik berkaitan biodiversiti Sabah.
Hajiji berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, pada Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Hotel Hilton, kelmarin.

