KOTA KINABALU: 1 Julai 2026 – Hungary menawarkan 40 biasiswa setiap tahun kepada pelajar Malaysia, termasuk dari Sabah, demi mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr. Sándor Sipos, berkata biasiswa itu merangkumi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bahasa Inggeris.
Beliau berharap lebih ramai pelajar dari Sabah memanfaatkan peluang tersebut sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan Sabah.
“Selain pendidikan, Hungary juga melihat potensi kerjasama dengan Sabah dalam bidang peralatan perubatan, biodiversiti dan perdagangan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, Selasa lalu.
Sándor menyifatkan lawatan keduanya ke Sabah sebagai pengalaman bermakna, terutamanya selepas menyaksikan sambutan Pesta Kaamatan baru-baru ini. Beliau memuji kepelbagaian budaya dan keramahan masyarakat Sabah sebagai gambaran positif terhadap potensi kerjasama masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Hungary merancang menganjurkan ekspedisi saintifik ke Sabah pada Ogos depan untuk memperingati sumbangan penyelidik Hungary, Franz Xaver Witt, yang menjalankan penyelidikan di Kudat dan Kota Marudu pada akhir abad ke-19.
Ekspedisi itu turut melibatkan lawatan ke Banjaran Witti di Sandakan dan Bukit Andrassy di Tawau – kedua-duanya dinamakan sempena tokoh Hungary – sekaligus mencerminkan hubungan sejarah yang telah lama terjalin antara Hungary dan Sabah.

