SAANS Sungai Pegalan fokus Rumah Etnik dan Tapak Sekolah Adat

WhatsApp Image 2026 08 06 at 4.34.05 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAMBUNAN: 6 Ogos 2026 – Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Sungai Pegalan Daerah Tambunan ditubuhkan secara rasmi pada 11 Julai lalu menerusi Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi (AJKT) di Tambunan.

Pengetua SAANS Sungai Pegalan, Dr. Lily James Billy berkata, penubuhan ini menjadi langkah penting untuk memperkukuh pemeliharaan adat, budaya, bahasa dan identiti Orang Asal Sabah menerusi sistem pendidikan adat yang lebih tersusun.

Katanya, dua fokus utama pada tahun 2026 ialah pembangunan Rumah Etnik Bunduliwan di Ibu Pejabat SAANS, Lumawang, Tuaran sebagai lambang warisan masyarakat Dusun Bunduliwan, dan usaha mendapatkan pewartaan tanah untuk tapak tetap SAANS Sungai Pegalan di Tambunan.

“Kedua-dua inisiatif ini bakal menjadi asas kepada pembangunan institusi pendidikan adat yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran, penyelidikan, dokumentasi dan pemuliharaan warisan budaya Orang Asal Sabah,” katanya dalam kenyataan.

WhatsApp Image 2026 08 06 at 4.39.34 PM

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas komitmen dan kerjasama sehingga penubuhan rasmi SAANS Sungai Pegalan berjaya direalisasikan.

Mesyuarat AJKT turut membincangkan cadangan program untuk memperkasakan pendidikan adat, meningkatkan penglibatan masyarakat, serta memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

SAANS merupakan institusi pendidikan berteraskan adat dan warisan Orang Asal Sabah yang ditubuhkan pada 2019 di Kampung Lumawang, Tuaran. Kini, institusi ini berkembang kepada 41 sekolah etnik di seluruh Sabah dan menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi penubuhan Sabah Native Customaries School Living Lab.

SAANS juga giat mengusahakan pencalonan dalam Daftar Amalan Pemeliharaan Baik UNESCO demi memartabatkan warisan budaya Sabah di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal