KOTA KINABALU, SABAH, 1 Julai 2025 – Royal Brunei Airlines (RB) telah menganjurkan acara “An Afternoon with Royal Brunei Airlines” bertempat di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada hari ini. Acara ini diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Penubuhan dan Penerbangan RB yang ke-50 serta Ulang Tahun Royal Skies yang ke-22.
Acara ini dihadiri oleh 80 individu yang terdiri daripada pelbagai agensi, organisasi media, dan pihak berkepentingan yang berpangkalan di Kota Kinabalu. Tujuan utama acara ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara RB dengan semua pihak berkepentingan termasuklah ahli Royal Skies yang berada di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Ini adalah usaha berterusan RB untuk menghargai sokongan dan kerjasama yang telah diberikan selama ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RB, Kapten Sabirin Hj Abd Hamid, dengan diiringi oleh Pengurus Jualan RB bagi Malaysia Timur, Philip Leander Lokupi, telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada enam (6) orang pemenang cabutan bertuah Pameran MATTA 2025.
Penyampaian hadiah ini merupakan satu tanda penghargaan RB kepada para pelanggan setia yang telah menyokong RB di Pameran MATTA yang lalu.
Acara “An Afternoon with Royal Brunei Airlines” ini merupakan satu platform penting untuk RB berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan dan ahli Royal Skies. Ia juga membuktikan komitmen RB untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan membina hubungan yang kukuh dengan komuniti di Kota Kinabalu dan Malaysia Timur secara amnya. RB berharap hubungan erat ini akan terus terjalin dan diperkukuhkan lagi di masa hadapan.