PENAMPANG: 9 Ogos 2026 – Ribuan anak muda dijangka membanjiri Dewan KDCA di Penampang pada 1 hingga 3 September ini untuk menyertai Konferensi Pelayanan Pemuda-Pemudi Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah yang ke-47.
Perhimpunan tahunan itu, yang menarik peserta dari seluruh negeri, merupakan salah satu acara belia terbesar dalam kalendar Kristian Sabah. Konferensi kali ini bertemakan “Connected” (Terhubung), berpandukan petikan Yohanes 15:1-8.

Menurut penganjur, tema itu mengajar generasi muda untuk mendekatkan diri kepada Tuhan di samping membina hubungan yang kukuh sesama manusia.
Konferensi ini menyasarkan belia SIB Sabah berumur 13 hingga 40 tahun, namun penganjur memaklumkan tiada sekatan umur untuk menyertai. Pendaftaran awal secara dalam talian melalui Ticket2U telah ditutup pada 31 Julai lalu, tetapi peserta masih boleh mendaftar terus di kaunter Dewan KDCA sepanjang acara berlangsung. Yuran penyertaan RM120 seorang meliputi akses ke semua sesi seminar dan kit rasmi konferensi.

Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) yang diadakan setiap malam sepanjang konferensi itu dibuka kepada orang ramai tanpa sebarang bayaran.
PMM SIB Sabah merupakan sayap pelayanan pemuda di bawah SIB Sabah yang menumpukan perhatian kepada pembangunan rohani, kepimpinan dan pelayanan dalam kalangan belia.
Sumber: PMM SIB SABAH

