Dalam dunia percintaan, bukan semua persoalan mendapat jawapan. Ada hubungan yang bermula dengan harapan, tetapi berakhir dengan tanda tanya. Ada juga perasaan yang dipendam terlalu lama sehingga akhirnya hanya tinggal sebagai kenangan yang tidak pernah benar-benar menjadi kenyataan.
Realiti itulah yang diangkat menerusi single terbaharu bertajuk Rahsia Hati, hasil ciptaan dan lirik oleh Rusdie Shaah, manakala vokalnya disampaikan oleh penyanyi Sabah, Marlleynney Fane atau lebih dikenali sebagai Marley.
Lagu Rahsia Hati mengisahkan perjalanan emosi seseorang yang terperangkap dalam hubungan yang tidak mempunyai kepastian. Di sebalik perhatian dan kehadiran seseorang yang dianggap istimewa, masih wujud keraguan yang membuatkan hati terus menunggu jawapan yang tidak kunjung tiba.
Menurut Rusdie, tema itu dipilih kerana dekat dengan kehidupan ramai orang.
“Rahsia Hati mengisahkan perjalanan emosi seseorang yang terperangkap dalam hubungan yang penuh tanda tanya dan ketidakpastian. Kisah ini sering dialami oleh ramai orang, sama ada lelaki mahupun wanita, apabila perasaan yang hadir tidak pernah diberikan kepastian yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, di sebalik harapan yang dibina, sering wujud rahsia dan keraguan yang membuatkan seseorang terus menunggu walaupun tidak pasti ke mana arah hubungan tersebut akan pergi.
Bagi Marley pula, hubungan awalnya dengan lagu itu berlaku sebaik sahaja beliau mendengar demo yang diberikan.
“Pertama kali mendengar demo Rahsia Hati, melodi dan lirik lagu itu terus melekat di hati saya. Saya memang sangat menyukai genre lagu seperti ini. Kalau sudah sekali dengar terus suka, memang ada sesuatu yang istimewa pada lagu itu,” katanya.
Sebagai penyanyi, Marley mengakui proses merakamkan lagu tersebut bukan sekadar soal teknik vokal, tetapi juga memahami emosi yang terkandung dalam setiap bait lirik.
Katanya, cabaran terbesar adalah memastikan mesej lagu dapat disampaikan dengan tepat kepada pendengar.
“Saya kena memahami lirik lagu ini betul-betul dan menyanyikannya mengikut emosi dan alunan yang betul. Kalau kita dapat menyanyikan lagu itu dengan emosi yang betul, orang yang mendengar juga akan turut merasakan mesej yang ingin disampaikan,” katanya.
Antara bahagian yang paling dekat dengannya ialah rangkap korus yang berbunyi, “Ini rahsia di hati, yang tak pernah kau beri erti”, selain bait lirik yang menggambarkan seseorang yang berdepan dengan pilihan yang tidak memihak kepadanya.
Menurut Marley, apabila seseorang benar-benar menyukai sesebuah lagu, proses menghafal melodi dan menghayati emosi yang terkandung di dalamnya menjadi lebih mudah dan semula jadi.
Di sebalik kisah yang dibawakan, Rahsia Hati turut membawa mesej tentang keberanian menerima kenyataan apabila sesuatu hubungan tidak lagi mempunyai arah yang jelas.
“Bercerita tentang hubungan yang tidak ada kepastian. Bila sudah mencintai dan menyayangi, namun tiada kepastian dan seolah-olah hubungan itu menjadi rahsia, kita mula ragu-ragu. Lama-kelamaan kita akan tawar hati dan membuat keputusan untuk melepaskan sahaja,” katanya.
Bagi Rusdie, lagu itu bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga cerminan pengalaman yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Beliau menjelaskan bahawa Rahsia Hati diinspirasikan dari kisah cinta yang tidak pasti, harapan yang tidak kesampaian dan keberanian seseorang untuk menerima hakikat bahawa tidak semua perasaan akan berakhir dengan kebahagiaan.
“Rahsia Hati bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga sebuah pengajaran bahawa tidak semua perasaan akan berakhir dengan kebahagiaan, dan kadangkala melepaskan adalah langkah terbaik untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam masa sama, Rusdie turut menjelaskan sebab beliau memilih Marley untuk membawakan lagu tersebut. Menurutnya, Marley memiliki keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai genre muzik sambil mengekalkan identiti vokalnya yang tersendiri.
“Marlleynney Fane merupakan salah seorang penyanyi yang paling versatil yang pernah saya berpeluang bekerjasama. Kepelbagaian vokal, kematangan seni dan penghayatan yang dimilikinya menjadikan beliau seorang penyanyi yang istimewa,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan itu terbukti apabila Marley berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan penuh keikhlasan dan emosi sehingga mampu memberikan makna yang lebih mendalam kepada karya berkenaan.
Sebagai penutup, kedua-dua mereka berharap Rahsia Hati dapat menemui pendengarnya sendiri, khususnya mereka yang pernah melalui pengalaman mencintai seseorang tanpa kepastian.
“Rahsia Hati didedikasikan kepada semua yang pernah melalui ketidakpastian dalam percintaan. Setiap pengalaman hidup membawa pengajaran yang berharga, dan setiap kisah berhak untuk didengari,” kata Rusdie.
Marley pula berharap lagu tersebut dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan situasi yang sama.
“Semoga lagu ini mendapat tempat di hati pendengar. Untuk yang sedang mengalami keadaan seperti dalam lagu ini, semoga kamu terus kuat. Terima kasih atas sokongan kamu semua. Teruskan menyokong artis dan lagu-lagu dalam industri muzik Sabah,” katanya.
