Harga diesel bersubsidi turun RM2.10 seliter mulai Julai

IMG 6270

PUTRAJAYA: 21 Jun 2026 – Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini menerusi pelaksanaan sistem penyasaran subsidi berasaskan MyKad bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati bantuan tersebut.

Langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berada di Bintulu, Sarawak, hari ini.

Melalui mekanisme baharu yang menggunakan pendekatan sama seperti program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi yang seragam di seluruh negara, manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api itu pada harga tanpa subsidi.

Anwar berkata, pembaharuan tersebut dilaksanakan untuk memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada kumpulan sasar selain membendung ketirisan dan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang semakin meningkat susulan perbezaan harga yang ketara antara diesel bersubsidi dan diesel tanpa subsidi.

Sekarang, diesel dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang baharu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan mekanisme yang digunakan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, rakyat di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter, manakala bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi berkenaan.

Perincian lanjut mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 jun 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal