Friday, May 17, 2024

Petronas tubuh pusat sains di Tawau, Sandakan

Yakub (kiri) merasmikan Pra-Pelancaran Pusat Sains Tawau dan Sandakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Khamis.

Nilam Raon

TAWAU: Petronas menubuhkan pusat sains di Perpustakaan Negeri Wilayah Tawau dan Sandakan yang dijangka beroperasi pada 2024. Kos pembinaan pusat itu dianggarkan bernilai sebanyak RM10.2 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, penubuhan pusat itu dapat memberikan akses dan peluang untuk belajar di kalangan para pelajar, guru dan penduduk setempat ke arah membudayakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kerajaan Negeri berharap pihak Petronas akan menubuhkan lebih banyak pusat sains seperti ini di Sabah, memandangkan keadaan geografi negeri ini yang agak luas untuk pergi ke satu-satu pusat di tempat lain.

“Petronas boleh mempertimbangkan untuk pembinaan tiga lagi pusat sains di Perpustakaan Negeri Sabah termasuk di Kota Belud,” katanya kepada pemberita di majlis Pra-Pelancaran Pusat Sains Tawau dan Sandakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Khamis.

Turut hadir Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong.

Menurutnya, pusat sains ini akan menjadi satu platform bagi pelajar untuk mendalami ilmu STEM melalui kaedah interaktif tanpa perlu ke Petrosains Playsmart di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

“Melalui platform ini juga, minat terhadap STEM di kalangan anak-anak Sabah diharap dapat disemai dan seterusnya mendorong mereka untuk memilih kerjaya berkaitan STEM.

“Kita perlukan anak-anak Sabah untuk menyumbang kembali kepakaran mereka untuk kemajuan negeri yang tercinta,” katanya lagi.

Yakub berkata, Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan inisiatif seumpama ini untuk melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu membantu menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Saya dimaklumkan pusat sains ini akan dilengkapi dengan program yang berkonsepkan ‘Maker Studio’ dan ‘Playsmart’ yang menyasarkan lebih 80,000 pengunjung setahun di setiap lokasi,” katanya lagi.

Di majlis itu, Petronas menyerahkan Surat Niat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) bagi penubuhan kedua-dua pusat itu dan kepada lima Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA).

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights