Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 13 Oktober 2026 – Semua sekolah di daerah Tawau ditutup mulai 14 Oktober susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150, iaitu tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak risiko pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
Semua pentadbir sekolah di daerah berkenaan diminta mematuhi arahan penutupan. Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan memastikan anak-anak berada di tempat selamat dan mengurangkan aktiviti luar.
Ibu bapa juga diminta mengikuti perkembangan semasa kualiti udara melalui saluran rasmi.
Menurut kenyataan itu, pembukaan semula sekolah bergantung pada keadaan kualiti udara semasa dan arahan rasmi selanjutnya dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPN Sabah.

