TAMBUNAN: 17 Mei 2026 – Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya atau perayaan menuai hasil pertanian, tetapi ia melambangkan rasa syukur, semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana & Koordinasi Kaamatan Sabah 2026, Huguan Siou Lundu Mirongod, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Daerah Tambunan di Dewan Pisompuruan, kelmarin.

Menuai padi – Datuk Seri Dr Jeffrey (kiri), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan (tengah) dan Mohd Azri Jaini Jeffrey (kanan)
Tema sambutan tahun ini, “Mongomot Psompuruan, Mamaramai Piunungan” atau “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” (Harvesting Unity, Celebrating Harmony), diakui Jeffrey amat bertepatan dengan realiti masyarakat hari ini.

“Perpaduan tidak datang dengan sendiri. Ia perlu dibina dan dipupuk melalui sikap saling menghormati, saling membantu dan menerima perbezaan antara satu sama lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan.
Jeffrey mengingatkan bahawa Daerah Tambunan terkenal dengan perpaduan sejak dahulu. Walaupun pernah berlaku perselisihan antara kumpulan dalam sejarah, ia berakhir dengan perdamaian – yang kini diabadikan pada tugu peringatan di perkarangan Dewan Pisompuruan.

“Saya berharap acara dan aktiviti yang dianjurkan dapat merealisasikan hasrat kerajaan memupuk semangat perpaduan serta memperkasakan nilai adat dan warisan budaya dalam kalangan semua peringkat umur – bukan sahaja warga emas, tetapi juga belia dan kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Jeffrey, Kaamatan bukan sahaja sambutan kebudayaan, tetapi juga menjadi platform ekonomi, pelaburan dan pelancongan.
Ia mempromosikan warisan tradisi, makanan tempatan, seni budaya dan hasil kraftangan. Secara tidak langsung, ia membantu memperkenalkan identiti daerah Tambunan kepada generasi muda dan pengunjung.

“Kaamatan turut memberi kesan kepada ekonomi. Sebagai contoh, perbelanjaan Pesta Kaamatan di Tambunan menjana kira-kira RM2 juta dalam putaran ekonomi. Di peringkat negeri, berdasarkan faktor darab 10, ia boleh menjana ekonomi sehingga RM560 juta,” jelasnya.
Lebih membanggakan, kata Jeffrey, perayaan Kaamatan kini disambut bukan sahaja di Sabah, Sarawak dan seluruh Malaysia, tetapi juga di New Zealand, United Kingdom dan Australia.
“Berbanggalah kerana Kaamatan sudah menjadi perayaan antarabangsa,” katanya.
Selaku Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Sabah (SAMA), Jeffrey berkata Tambunan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan dan ekonomi komuniti menerusi keunikan alam semula jadi, budaya dan produk tempatan.
Beberapa projek akan terus diperkasakan termasuk penambahbaikan jalan luar bandar, kemudahan asas kampung, kemudahan pelancongan, dan peningkatan kemudahan pertanian.
Perhatian juga akan diberikan kepada pembangunan belia, pendidikan dan peluang ekonomi agar masyarakat menikmati pembangunan lebih seimbang dan berterusan.
Antaranya, wakil rakyat akan memberi hadiah anugerah cemerlang kepada pelajar belia yang mencapai kejayaan setiap tahun.
Jeffrey menjemput orang ramai melawat rumah-rumah tradisi di mukim-mukim sekitar untuk merasai suasana Kaamatan yang penuh adat dan budaya seperti pada masa dahulu.
Antara destinasi menarik di Tambunan termasuk Pusat Penerangan Rafflesia, Air Terjun Mahua, Kawang-Kawang Canyon, serta Stesen Memerhati Burung Gunung Alab dan Trusmadi.
Beliau berharap sambutan Pesta Kaamatan terus menjadi ruang mengeratkan hubungan silaturahim semua pihak, selari dengan tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian.”
