RTK wadah bentuk pemimpin muda dan hidupkan budaya KDMR

WhatsApp Image 2026 05 16 at 23.51.25

KOTA KINABALU: 16 Mei 2026 – Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) dijadikan wadah membentuk pemimpin muda sambil menghidupkan budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) dalam kalangan generasi baharu.

Timbalan Presiden merangkap Bendahari Agung KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip berkata, pertandingan itu bukan sekadar acara sempena Pesta Kaamatan, tetapi medium melahirkan belia berkarakter, berilmu dan mampu memberi impak kepada masyarakat.

Katanya, penyertaan 50 peserta dari seluruh Sabah termasuk wakil KDCA luar Sabah membuktikan minat generasi muda terhadap warisan budaya terus berkembang.

WhatsApp Image 2026 05 16 at 23.55.10

“RTK ialah perjalanan berterusan untuk melahirkan pemimpin muda yang mampu membawa identiti budaya dan menjadi contoh kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pendaftaran peserta Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKNS), Kelmarin.

Joseph berkata, RTK turut membantu memperkenalkan pakaian tradisi lelaki yang kini semakin mendapat perhatian masyarakat.

Katanya, perkembangan itu bukan sahaja membantu memelihara budaya KDMR, tetapi turut memberi kesan positif kepada pengusaha dan pembuat pakaian tradisi di Sabah.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan pertandingan itu untuk membina keyakinan diri, disiplin dan kepimpinan sebagai pembawa budaya.

Sementara itu, peserta RTK Kalabakan, Obinna Daniel Anuo berkata, cabaran paling besar sepanjang persiapan pertandingan ialah memahami dan mempelajari bahasa ibunda.

WhatsApp Image 2026 05 16 at 23.49.12 1

Katanya, walaupun tidak begitu lancar, beliau tetap berusaha mempelajarinya sebagai usaha menghargai budaya sendiri.

Bagi peserta RTK Kota Belud, Herman Sopikit, penyertaannya dalam pertandingan itu memberi peluang memperkenalkan identiti dan keunikan daerah berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

WhatsApp Image 2026 05 16 at 23.50.06

“Saya sangat gembira sebab dapat mewakili daerah Kota Belud dan boleh memperkenalkan apa yang ada di Kota Belud sebenarnya.

“Ini juga mewakili suara daerah Kota Belud ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Pertandingan akhir RTK 2026 dijadual berlangsung pada 27 Mei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal