Guru pendidikan khas dari Sabah terima anugerah khas Menteri Pendidikan

986caea6 f269 42ae 92d7 7411dcb0ae2f

IPOH: 17 Mei 2026 – Guru pendidikan khas dari Sabah, Dr Velerie Wheelervon Primus atau dikenali sebagai Dr Vonn menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 di Perak.

Pengiktirafan itu diberikan atas jasa, dedikasi dan impak beliau dalam dunia pendidikan khas di negara ini.

Dr Vonn yang bertugas di SK Bingkor, Keningau turut mengharumkan nama Sabah apabila menerima antara pengiktirafan tertinggi sempena sambutan Hari Guru tahun ini yang membawa tema “Guru Bitara, Nadi Negara”.

Beliau dikenali sebagai pendidik yang aktif memperjuangkan pendidikan inklusif dan pembangunan murid pendidikan khas melalui pendekatan berasaskan kasih sayang, regulasi emosi dan inovasi pembelajaran.

Ketika ditemui selepas menerima anugerah itu, beliau berkata, “Saya amat bersyukur dan gembira menerima penghargaan ini. Bagi saya, anugerah sebenar adalah apabila saya melihat anak-anak murid berjaya, tersenyum dan percaya bahawa mereka juga mempunyai masa depan yang cerah.”.

Anugerah itu beliau dedikasikan kepada semua guru di Malaysia khususnya warga pendidik di luar bandar dan pendidikan khas yang terus berjuang mendidik dengan penuh pengorbanan.

Kejayaan Dr Vonn turut menjadi inspirasi dalam dunia pendidikan apabila beliau membawa nama Malaysia dan Sabah ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai advokasi berkaitan pendidikan inklusif, neurodiversiti dan kesejahteraan murid.

Pengiktirafan itu membuktikan guru bukan sekadar pendidik di bilik darjah, tetapi juga agen perubahan dalam membentuk masa depan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal