KOTA KINABALU: 17 Mei 2026 – Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) kini berkembang lebih daripada pertandingan budaya, kepada platform kreatif dan pelancongan yang mengetengahkan identiti masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).
Pengerusi RTK Negeri Sabah 2026, En. Casey Jovial berkata, pertandingan itu tampil dengan konsep lebih moden melalui gabungan elemen budaya dan kontemporari.

Menurutnya, RTK bukan sahaja meraikan budaya Sabah, tetapi turut menjadi medium memperkenalkan warisan negeri kepada pengunjung luar.
“RTK bukan lagi sekadar pertandingan, tetapi platform budaya lelaki KDMR yang semakin mendapat perhatian ramai termasuk pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pendaftaran peserta Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS), pada Jumaat.
Casey berkata, antara pembaharuan tahun ini ialah pengenalan Randawi Production yang memberi fokus kepada pembangunan bakat, persembahan pentas dan kandungan kreatif.
Katanya, beberapa program turut diadakan sepanjang minggu Kaamatan termasuk Perkampungan Budaya RTK, pertandingan MasterChef dan Showcase RTK.
Selain itu, acara A Night of Cultural Fashion pada 22 Mei di Hilton Kota Kinabalu bakal mengetengahkan gabungan elemen fesyen moden dan budaya Sabah.
Pertandingan akhir RTK Negeri Sabah 2026 akan berlangsung pada 27 Mei di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.
Lebih 50 penari dan artis tempatan termasuk Stacy Anam, Elica Paujin, Dabra Sia, McDowell dan George Lian dijadual memeriahkan malam kemuncak pertandingan.
Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah bernilai RM135,000.
