Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 8 September 2026 – Dua pekerja syarikat bas ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di Terminal Bas Inanam, yang tular menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5 September 2026.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.54 pagi melibatkan dua pekerja bas berusia 38 tahun dan 37 tahun.
“Pergaduhan dipercayai berpunca dari perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang bas,” katanya dalam kenyataan media.
Kedua-dua lelaki itu dipercayai bertumbuk menggunakan tangan tanpa melibatkan sebarang senjata. Pemeriksaan awal mendapati mereka tidak mengalami kecederaan.
Polis menahan kedua-dua lelaki kira-kira jam 2.30 petang, 6 September 2026 untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Sebarang perselisihan perlu diselesaikan melalui saluran sewajarnya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu

