Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
SEMPORNA: 17 September 2026 – Sebanyak 1.658 tan sisa marin berjaya dikutip dalam tempoh dua hari menerusi Program Pembersihan Bawah Air Tahunan Jetama Sdn Bhd sempena sambutan Hari Malaysia.
Program yang berlangsung dari 15 hingga 18 September 2026 itu menyasarkan kutipan sebanyak tiga tan sisa marin di perairan sekitar Semporna termasuk Pulau Mabul.
Seramai 15 penyelam sukarelawan menyertai program yang dianjurkan bersama Persatuan Pelancongan Semporna, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA), Semporna Professional Divers Association (SPDA).
Wakil Jetama, Ag. Ahmad Zaki berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan semangat kemakmuran bersama dalam usaha melindungi alam sekitar marin.
“Ini merupakan inisiatif Hari Malaysia yang mencerminkan semangat tanggungjawab bersama dalam melindungi alam sekitar marin. Kami telah mengumpul 1.658 tan sisa marin dalam dua hari pertama, dengan tempoh dua hari lagi,” katanya.
Jetama menyasarkan kutipan 12 tan sisa marin setahun menerusi program alam sekitar, sosial, tadbir urus (ESG).
Sejak program itu bermula pada 2024, sebanyak 36 tan sisa marin telah dikeluarkan dari perairan Sabah.
Jetama turut memegang dua rekod Malaysia Book of Records menerusi kutipan 2,171 kilogram sisa marin dalam sehari, selain 1,578 kilogram sisa plastik dalam sehari.

