Panggilan kecemasan 999 di Sabah cecah 15,134 sepanjang 2025

WhatsApp Image 2026 11 26 at 3.22.18 PM

Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim

KOTA KINABALU: Lebih 15,000 panggilan kecemasan melalui talian 999 diterima di Sabah sepanjang 2025, tanda jelas bahawa nyawa sering bergantung pada masa respons yang singkat.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah merekodkan 15,134 panggilan kecemasan sepanjang 2025. Sebanyak 10,154 panggilan lagi diterima dari Januari hingga September 2026.

Angka itu menunjukkan betapa pentingnya perkhidmatan pra-hospital atau ambulans diperkukuh di seluruh Sabah, terutama dari segi tenaga kerja dan kelengkapan.

“Perkhidmatan pra-hospital atau ambulans penting dalam rangkaian penjagaan kesihatan, terutama untuk memastikan masa respons yang singkat ketika kecemasan,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Sebuah hospital sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi perlu dibina untuk menjadi pusat latihan utama perkhidmatan pra-hospital di Sabah.

Usaha itu bertujuan mengatasi kekurangan tenaga kerja dan kelengkapan ambulans di kawasan bandar mahupun pedalaman.

Perkara itu disampaikan Hajiji pada majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, Rabu.

Menurutnya lagi, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia, termasuk Sabah, diikuti strok. Kes kemalangan jalan raya turut menjadi punca utama.

“Tindakan awal yang pantas mampu mengurangkan komplikasi, malah menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, lebih ramai orang awam perlu dilatih sebagai Ahli Pertolongan Cemas menerusi sasaran ‘Satu Orang Ahli Pertolongan Cemas Setiap Keluarga’.

Hajiji menyifatkan kursus julung kali itu sebagai inisiatif baik kerana melibatkan pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, ADUN termasuk pegawai Jabatan Ketua Menteri.

Beliau berharap kursus itu diteruskan secara berkala dengan penglibatan pengiring peribadi wakil rakyat yang menguruskan perkhidmatan masyarakat di lapangan.

Hajiji turut berharap setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan masing-masing untuk melatih pasukan pertolongan cemas yang bersedia menghadapi kecemasan di kawasan masing-masing.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal