Oleh Raynold Thomas
GUANGZHOU: Kawasan seluas kira-kira 50 ekar di Numbak, Sepanggar, bakal menjadi pusat sehenti industri perikanan yang menghubungkan penyelidikan, pembenihan, penternakan, pemprosesan dan pemasaran, jika rancangan kerajaan negeri berjalan lancar.
Inspirasi itu datang dari lawatan delegasi Sabah ke Nansha Fisheries Industrial Park di Guangzhou pada hari kedua misi perdagangan negeri hari ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata lawatan itu memberi gambaran jelas mengenai pembangunan industri perikanan bersepadu yang boleh dijadikan rujukan untuk merancang kawasan Numbak.
“Bukan hanya tertumpu kepada pembiakan ikan, tetapi kita juga perlu menelusuri aktiviti lain supaya semuanya saling berhubung, dari benih ikan, penternakan, pengurusan air kolam, penuaian hinggalah pemasaran produk ke restoran,” katanya.
Janawi berkata, kementeriannya juga melihat potensi kerjasama dengan pengurusan taman industri berkenaan untuk membawa masuk teknologi bersesuaian ke Sabah, sejajar agenda ekonomi biru di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ).
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, yakin kerjasama seumpama itu membuka laluan baharu pembangunan akuakultur di Sabah.
Ditanya sama ada KTC mungkin membuka laluan kerjasama dalam sektor berkenaan, beliau menjawab dengan yakin: “Ya, saya sangat teruja.”
Menurutnya, Sabah mempunyai pelbagai sumber dan produk yang berpotensi diketengahkan melalui kerjasama perniagaan dan akses ke pasaran baharu.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah menyesuaikannya dengan keperluan Sabah. Melalui penyesuaian itu, kita boleh mewujudkan pekerjaan, pasaran dan peluang baharu,” katanya.
Dexter menegaskan komitmen MCCC Sabah untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong kerajaan negeri dan kementerian membawa produk dan potensi ekonomi Sabah ke pasaran antarabangsa.
Lawatan itu turut disertai kira-kira 120 delegasi dan wakil perdagangan Thailand, termasuk Lt. Jg. Dr. Veerachai Gosasang dan Ph.D Nara Ilachan.
– TV Sabah
